Hokage Kelima Senarai Hokage

Rencana utama: Tsunade

Tsunade - Hokage Kelima

Tsunade ialah cucu kepada Hokage Pertama iaitu Hashirama Senju dan bekas anak murid kepada Hokage Ketiga iaitu Hiruzen Sarutobi. Tsunade dan bekas rakan sepasukannya, Jiraiya dan Orochimaru dikenali sebagai 'Tiga Lagenda' (Tensai Sannin). Gelaran Sannin tersebut diberikan kepada mereka bertiga oleh ketua kampung Hujan (Amegakure) iaitu Salamander Hanzou semasa peperangan dunia ninja ketiga kerana kekuatan mereka bertiga yang tidak habis melawan Hanzou dan mereka juga tidak tumpas. Gelaran 'puteri' selalu digunakan bersama dengan nama Tsunade oleh penduduk di Konoha.

Salah satu harta milik Tsunade yang bernilai ialah rantai yang dahulunya dimiliki oleh datuk Tsunade. Rantai tersebut dikatakan cukup mahal untuk membeli tiga buah gunung, seperti yang pernah dikatakan oleh Jiraiya. Pada ulang tahun kelahiran adiknya, Nawaki yang ke-12, Tsunade menghadiahkan rantai tersebut kepadanya dengan harapan Nawaki akan berjaya mencapai impiannya untuk bergelar Hokage. Keesokan harinya, Nawaki terkorban dalam satu pertarungan dan rantai tersebut dipulangkan kepada Tsunade. Hari berganti hari, Tsunade jatuh cinta dengan seorang shinobi Konoha bernama Dan yang juga bercita-cita untuk menjadi seorang Hokage. Sebagai tanda sokongan dan cintanya kepada Dan, Tsunade menghadiahkan rantai milik datuknya kepada Dan. Malangnya, Dan juga terkorban dalam peperangan dan sekali lagi menyaksikan kepulangan rantai tersebut kepada Tsunade.

Kematian Nawaki dan Dan meninggalkan impak yang sangat besar kepada Tsunade; kematian Dan dan kegagalan Tsunade untuk menyelamatkan nyawanya menyebabkan Tsunade menghidap hemofobia (takut akan darah). Orang ramai juga mula mempercayai bahawa sesiapa yang memiliki rantai Tsunade akan berdepan maut dan dianggap telah disumpah. Maka, Tsunade turut hilang kepercayaan terhadap gelaran Hokage dan menganggap hanya orang bodoh sahaja yang mahukan gelaran tersebut. Tsunade kemudiannya meninggalkan Konoha bersama-sama dengan anak saudara Dan, Shizune.

Tsunade memiliki kekuatan yang luar biasa. Kebolehan ini ialah hasil daya mengawal chakra Tsunade yang amat tinggi. Dengan mengumpul dan melepaskan chakra sebaik sahaja menyentuh sesuatu objek, dia boleh meningkatkan kekuatan fizikalnya sehingga mampu memecahkan batuan besar. Dia juga merupakan ninja perubatan yang mahir dan dapat merawat kecederaan parah yang selalunya akan membawa maut kepada mangsa. Tsunade telah mencipta 'Sōzō Saisei, 創造再生' (Kelahiran Semula Genesis), satu teknik yang membolehkan Tsunade menjana dan memulihkan semua luka pada penggunanya dengan membebaskan chakra yang dikumpulkan dalam tanda pada dahinya. Tetapi, jurus ini akan memendekkan jangka hayat Tsunade menyebabkan jurus ini hanya digunakan pada saat-saat kecemasan.

Walaupun dalam usia 50an, jurus 'Henge no Jutsu, 変化の術' (Teknik Peniruan) yang digunakan oleh Tsunade menyebabkannya kelihatan berumur di sekitar 20 tahun. Transformasi ini agak berbeza dengan transformasi biasa kerana perubahan fizikal pada Tsunade nampaknya kekal dan tidak dibengkalai apabila Tsunade dicederakan dalam pertarungan. Tsunade juga adalah seorang kaki judi yang selalu bernasib buruk. Maka, dia juga digelar 'Legenda Kaki Judi Teruk' kerana kemenangan yang sering diraih oleh pemain lawan. Apabila Tsunade benar-benar bernasib baik, dia melihat perkara tersebut sebagai alamat yang tidak baik. Biasanya, perkara yang tidak baik akan berlaku selepas itu. Simbol pada baju di bahagian belakang bermaksud judi (賭) memandangkan Tsunade suka berjudi pada masa lapangnya.